Cerita H.A sembilan hari di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 yang diadakan di PWTC. Bertarikh 26 April-4 Mei 2013.
Menyolek Gerai
Sebelum esok pesta buku (26 April) persiapan booth perlu dilakukan. Mulalah aktiviti menghias booth Kedai Pink Ain Maisarah dengan pemasangan langsir warna biru sebagai latar, meja ditutupi kain baldu merah jambu dan meletakkan sofa dua tempat duduk dengan sepasang mirror effect cushion dan karpet bulu (ruang digunakan untuk sesi autograf dan bertemu peminat Ain Maisarah).
Walaupun nama booth ada perkataan pink, pada tahun ini (ke-4) temanya adalah BLINK (Blue+Pink) sempena Ain Maisarah yang baru mewujudkan syarikat penerbitannya sendiri iaitu BLINK Book Sdn. Bhd. Menurut laporan, di masa depan akan dikenali sebagai Kedai BLINK Ain Maisarah.
Bagi pesta buku tahun 2013 ini, buat pertama kalinya H.A dipertanggungjawabkan memberikan idea dekorasi dan terus dilantik menjadi ketua dekorasi (gugup sekejap). Alhamdulillah, dengan kerjasama, kelulusan idea, pengongsian pendapat dan sedikit ubahsuai, menang juga johan gerai tercantik dan dapat mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut. Syukur.
Okey, itu berkenaan booth, apa yang H.A buat sepanjang berlangsungnya pesta buku?
Menantikan ketibaan novel pertama
Tersenyum lebar dan mata berkaca-kaca dengan kehadiran novel pertama. Sanggup tunggu di kilang BLINK sehingga jam 1 pagi semata-mata untuk mengeluarkannya sendiri dari bungkusan yang baru diambil dari kilang pencetak.
Menjual diri
Ya, selama di sana H.A menjual diri!
- Dengan memperkenalkan diri dan buku H.A kepada pembaca dan peminat-peminat Ain Maisarah.
- Belajar berkomunikasi dengan remaja.
- Bergambar dengan pemilik buku novel Projek Dekor-Dekor Ain Maisarah (terima kasih berjuta-juta).
- Autograf buku sambil cop sekali (Cop di tempah khas- berbentuk sofa dengan inkpad warna merah jambu).
- Dapat mengetahui kekuatan buku sendiri.
7 Bulan dan 9 hari
Hasil menulis manuskrip selama tujuh bulan sehingga tunggang terbalik, mood seperti kejap buat kejap tinggal, alasan demi alasan menjadikannya tertangguh-tertangguh. Akhirnya, dapat dilihat hasilnya selama 9 hari tersebut. Hari pertama pesta buku, hari pertama ia terbit dan berada di tangan pembaca. (Keluar air mata ketika menulis perenggan ini).
Bersama Ain Maisarah. Penulis bersama novel ini.
Album gambar penuh boleh dilihat di Facebook H.A yang baru iaitu Alam Anuar Blink
Pertandingan mewarna dan menghias bilik
Sempena kemunculan buku baru. H.A mengadakan pertandingan mewarna dan menghias bilik. Hadiahnya novel comel, button badge dan penanda buku yang comel.
Terima kasih berjuta-juta kerana sudi memasuki pertandingan ini ^_______^
Jari biru
Setiap tahun, pesta buku berlangsung selama 10 hari, tetapi ditamatkan sehari awal kerana Ahad 5 Mei, tarikh orang mengundi. Sedikit kecewa bagi peminat-peminat buku. Hanya pesta buku yang terbesar Malaysia setahun sekali ini, H.A dapat berjumpa dengan pembaca-pembaca buku H.A, rakan-rakan penulis dan membeli-belah buku baru. Apa pun yang penting tanggungjawab sudah dilaksanakan.
Beli Online
Bagi yang ingin memiliki atau dijadikan sebagai hadiah novel Projek Dekor-Dekor Ain Maisarah ini, buat masa sekarang hanya boleh didapatinya secara online di KedaiBlink
5 Perkara berkenaan novel ini:
- Buku ini mengisah tentang remaja perempuan yang mempunyai dua misi. Mencantikkan biliknya yang macam tokang pecah dan menceriakan kelasnya yang dinobatkan kelas paling kotor!
- Terdapat tip-tip dekorasi seperti warna yang sesuai untuk mengecat bilik, kenali personaliti berdasarkan warna kegemaran dan bermacam lagi tip menarik dekorasi yang dikongsikan.
- Novel ini mengunakan bahasa Melayu penuh dan betul. Bermaksud tiada ayat kontot atau sms.
- Patuhi Syariah. Bermaksud tiada aksi-aksi yang kurang sopan, tiada teks atau perkataan yang tidak elok. Kami amat menjaganya, kerana ia dibaca golongan remaja awal dan remaja dewasa.
- Membacanya seperti terdapat majalah dekorasi yang ada di sisi 🙂
Itu sahaja cerita 9 hari H.A di pesta buku. Bagi yang sudah memilikinya, mohon memberikan komen. Terima kasih berjuta-juta.
Nota: Alam Anuar merupakan nama pena H.A.
Kredit gambar: Milik sendiri, pengurus Ain Maisarah dan penulis Azanil Fitri.











